[VIDEO] Laporan video cemar imej TH dikemuka kepada MCMC, polis
KUALA LUMPUR - Aduan serta laporan terhadap kandungan video yang cuba mencemarkan imej Lembaga Tabung Haji (TH) di media sosial telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, beliau juga maklum terdapat beberapa video tersebar di media sosial yang mengajak umat Islam untuk keluar daripada menyimpan wang di institusi itu.

"Hasutan ini tidak memberi manfaat atau kebaikan kepada usaha dalam mempertahankan TH, maka kerajaan sedang teliti dan tindakan juga telah diambil, contoh aduan ataupun laporan telah dikemukakan kepada MCMC.
"Laporan polis juga telah dibuat ke atas beberapa video yang kita dapati menjurus ke arah hasutan tersebut dan perkara ini kita serah kepada pihak berwajib untuk melaksanakan atau menjalankan siasatan secara adil," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakya, pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai usaha kerajaan mengekang cubaan pembinaan naratif serta dakwaan jahat terhadap TH di pelbagai platform media sosial.
Dalam pada itu Mohd Na'im turut menjelaskan, agensi agama antaranya TV Alhijrah dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) terus mengadakan kempen penjelasana secara terperinci untuk menjelaskan isu yang berkaitan TH.
"Semoga dengan penjelasan yang diberikan kepada rakyat, kita harapkan agar semua pihak dapat bekerjasama membantu untuk mempertahan institusi ini," jelasya.
Sementara itu menjawab soalan asal mengenai amalan perolehan secara runding terus yang masih diamalkan oleh TH, Mohd Na'im menjelaskan, institusi itu telah melalui proses rundingan terus yang ketat dalam memilih konsortium gabungan syarikat perunding bagi menyusun semula strategi pengoperasian.
Beliau berkata, rundingan terus merupakan kaedah dibenarkan dalam keperluan tertentu terutama bagi perkhidmatan strategik yang memerlukan kepakaran khusus antaranya tinjauan dan kajian pasaran yang tidak diperolehi melalui proses tender biasa.
"Pemilihan ini telah melalui proses tadbir urus yang ketat merangkumi penilaian kepakaran teknikal dan komersial yang menyeluruh, rundingan harga serta kelulusan Jawatankuasa Tender dan seterusnya Lembaga Pengarah bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti serta nilai terbaik kepada organisasi.
"Selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap Tabung Haji, saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan TH iaitu Pengerusinya, Tan Sri Rashid Hussain, seorang tokoh korporat yang terbukti ketokohannya dalam urusan ‘execution’, dan mendapati penjelasan berkaitan runding terus mempunyai kewajaran serta justifikasi munasabah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
