Kanak-kanak 'diserang' ribuan cacing, keluar dari mulut, hidung dan dubur

SUKABUMI - Warganet gempar dengan kematian tragis seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang meninggal dunia kerana 'serangan' ribuan cacing gelang.
Mangsa dikenali sebagai Raya dari Kampung Padangenyang, Desa Cinaga, Kecamatan Kabandunga, Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat di Indonesia.
Menerusi video dikongsikan akaun @rumah_teduh_sahabat_iin di Instagram menjelaskan tubuh kanak-kanak itu dipenuhi cacing hingga meragut nyawanya pada bulan lalu.
Ia turut memaparkan klip berdurasi sembilan minit yang menunjukkan keadaan Raya yang kritikal ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) yang turut meraih jutaan tontonan.
Paling menyayat hati, kelihatan cacing keluar dari hidung, mulut dan dubur mangsa.
Kejadian itu turut menarik perhatian Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi.
"Saya berasa amat kecewa dan memohon maaf atas apa yang berlaku kepada kanak-kanak itu," lapor Tribunjabar.id memetik kenyataannya pada Selasa.
Dedi juga mengesahkan dia sudah menghubungi doktor yang merawat Raya dan dimaklumkan masalah itu berpunca daripada persekitaran kanak-kanak itu kerana dia sering bermain di tempat yang kotor.
Difahamkan, mangsa tidak mendapat penjagaan kebersihan yang sewajarnya kerana ibunya menderita sakit jiwa manakala bapanya menghidap tibi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

