Rakyat perlu jadi pelopor kebangkitan tulisan jawi - Sultan Pahang

Al-Sultan Abdullah bertitah pada majlis perasmian penutupan Konvensyen Antarabangsa jawi & Warisan Melayu 2025 (INJAH 2025).
Al-Sultan Abdullah bertitah pada majlis perasmian penutupan Konvensyen Antarabangsa jawi & Warisan Melayu 2025 (INJAH 2025).
A
A
A

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah menyeru seluruh rakyat Pahang agar tampil sebagai pelopor dalam menghidupkan semula roh serta penggunaan tulisan jawi.

Baginda menegaskan, tulisan jawi sebagai warisan Melayu tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi khazanah usang yang tersimpan di muzium.

“Sebaliknya, ia perlu terus berdenyut sebagai nadi kehidupan dari desa terpencil hingga ke kota raya, dari urusan pentadbiran hingga ke hamparan maya tanpa sempadan.

“Justeru itu, langkah-langkah menyeluruh dan berkesan perlu diambil oleh semua pihak bagi memperkasakan lagi persekitaran jawi di negeri ini,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam majlis perasmian penutupan Konvensyen Antarabangsa jawi & Warisan Melayu 2025 (INJAH 2025) di sini pada Selasa.

Menurut baginda, antara langkah yang boleh diambil termasuk menyeragamkan penulisan jawi di premis perniagaan dan tempat pelancongan di Pahang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Melahirkan lebih ramai pakar jawi melalui kursus intensif yang dianjurkan secara konsisten oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

“Tanggungjawab ini juga boleh dilaksanakan oleh Institut jawi Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) yang banyak membantu dalam menyemarakkan penggunaan tulisan jawi,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru agar teknologi digital dimanfaatkan dengan mewujudkan aplikasi dan platform media sosial berasaskan jawi supaya ia kekal segar dalam jiwa anak muda.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, penyelidikan berkaitan manuskrip Melayu dalam tulisan jawi perlu dipertingkatkan.

“Peranan ini boleh dimainkan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan khazanah ilmu yang terdapat dalam manuskrip tersebut dapat disebarluaskan kepada masyarakat,” titah baginda lagi.

Baginda menegaskan, usaha memelihara tulisan jawi bukan sekadar amanah sekolah atau institusi agama semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama seluruh lapisan masyarakat.

Tambah baginda, tulisan jawi merupakan nadi dan wajah sebenar identiti bangsa Melayu, dan sekiranya ia pupus, maka hilanglah sebahagian roh serta jiwa bangsa.

“Saya memandang tinggi usaha murni penganjuran INJAH 2025 kerana ia bukan sahaja medan perbincangan ilmiah, bahkan suatu ikhtiar menyatukan hati dan fikiran dalam memelihara khazanah agung bangsa, khususnya tulisan jawi yang menjadi lambang peradaban Melayu-Islam sejak berkurun lamanya,” titah Al-Sultan Abdullah.

Sempena majlis itu, baginda turut menyempurnakan perasmian Institut jawi UniPSAS, pelancaran buku Mahir Jawi serta pengurniaan sijil penghargaan Munsyi Dewan (Jawi) DBP dari Pahang.

INJAH 2025 yang berlangsung pada Isnin dan Selasa turut melibatkan sesi pembentangan ilmiah oleh tokoh tempatan dan antarabangsa termasuk dari Jepun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!