Remaja 15 tahun buat aksi 'wheelie' berdepan penjara lima tahun

PASIR PUTEH - Gara-gara menunggang sambil beraksi 'wheelie', seorang remaja ditahan dalam Op Samseng Jalanan di sekitar kawasan Pantai Bisikan Bayu, Tok Bali di sini pada Isnin.
Lelaki berusia 15 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, semasa operasi dijalankan remaja terbabit didapati menunggang motosikal dengan melakukan aksi 'wheelie' sekali gus membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
"Penunggang motosikal itu telah dibawa ke pejabat Trafik IPD Pasir Puteh untuk menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif dadah.
"Remaja tersebut telah ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda hingga RM15,000 jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, pihaknya akan berterusan melaksanakan operasi khas bagi membanteras aktiviti samseng jalanan dan lumba haram di beberapa kawasan 'panas' sekitar daerah Pasir Puteh.
Ujarnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti menunggang motosikal dengan cara berbahaya dan hendaklah sentiasa mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

