Mangsa buli, Izzul Islam stabil, dijangka pulang esok

JOHOR BAHRU – Mangsa buli yang kisahnya tular baru-baru ini, Izzul Islam Azuan Isaidi, kini dilaporkan stabil dan dijangka dibenarkan pulang esok selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, pihak hospital memaklumkan keadaan murid Tahun Empat itu masih dalam pemantauan.
“Adik Izzul merupakan mangsa kes buli yang berlaku pada 7 Ogos lalu di sebuah sekolah di Skudai. Dia dipercayai dipukul oleh seorang murid berusia 12 tahun di hadapan kelas.
“Alhamdulillah, pihak doktor memaklumkan keadaan adik Izzul tidak serius namun masih dalam pemantauan rapi. Jika semuanya berjalan lancar, adik Izzul insya-ALLAH akan dibenarkan pulang ke rumah esok.
"Semoga beliau segera sembuh dan kembali meneruskan pelajaran dalam keadaan yang lebih baik,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, malam Isnin.
Beliau berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menghulurkan sokongan melalui sesi kaunseling, bantuan psikologi dan kewangan kepada keluarga mangsa.
Tambahnya, kerajaan negeri akan memastikan pemantauan berterusan dilakukan agar kes berkenaan dapat diselesaikan dengan sebaiknya.
“Saya ingin menegaskan bahawa perkara ini masih dalam siasatan pihak polis. Saya akan memastikan pemantauan rapi terus dilakukan supaya kes ini dapat diselesaikan segera.
“Buli tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan, dan usaha berterusan akan dilakukan bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan serta masa depan anak-anak Johor sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

