Chelsea, Crystal Palace buntu di Stamford Bridge

CHELSEA memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Crystal Palace dalam aksi di Stamford Bridge pada Ahad.
Perlawanan itu menjadi lebih menarik apabila gol sepakan percuma Eberechi Eze pada minit ke-13 dibatalkan oleh pengadil selepas semakan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Pengadil, Darren England memutuskan bahawa kapten Palace, Marc Guehi menolak Moisés Caicedo dan berdiri terlalu hampir dengan benteng Chelsea sebelum Eze melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol, Robert Sánchez.
Keputusan itu mencetuskan kemarahan penyokong Palace yang jelas merasakan The Eagles sepatutnya mendahului.
Chelsea yang baharu muncul juara Piala Dunia Kelab dan Liga Konferensi Europa musim lalu gagal menguasai permainan apabila muka baharu seperti João Pedro dan Jamie Gittens tidak banyak membantu skuad kendalian Enzo Maresca itu.
Sebaliknya, bintang muda Brazil, Estevão yang baru berusia 18 tahun lebih mencuri tumpuan selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dengan kelincahannya di sayap kanan.
Palace di bawah kendalian Oliver Glasner yang lebih tersusun pula menegaskan bahawa desas-desus perpindahan Eze dan Guehi tidak menjejaskan fokus kedua-dua pemain berkenaan.
“Mereka 100 peratus bersama pasukan. Eze sepatutnya ada gol hari ini, tapi malangnya dibatalkan,” katanya.
Palace akan berdepan kelab liga Norway, Fredrikstad, dalam saingan Kelayakan Liga Konferensi Europa di Selhurst Park, Jumaat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
