Buli perlu diperangi habis-habisan - Fadhlina

Fadhlina melawat SMK Dr Burhanuddin pada Sabtu.
Fadhlina melawat SMK Dr Burhanuddin pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Salah laku buli perlu diperangi habis-habisan dan dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) oleh pentadbir sekolah.

Perkara itu ditegaskan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad selepas lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dr Burhanuddin, Taiping pada Sabtu.

Beliau turut berjanji akan memberikan insentif khas jika sekolah itu berjaya mencatat sifar buli.

"Salah laku buli juga perlu diperangi habis-habisan. Ia perlu dijadikan petunjuk prestasi utama oleh pentadbir sekolah.

"Saya berjanji akan memberikan insentif khas jika sekolah ini (SMK Dr Burhanuddin) berjaya mencatat 'sifar buli," katanya.

Fadhlina menyifatkan pertemuan bersama murid dan guru SMK Dr Burhanuddin sebagai singkat tetapi bermakna memandangkan ia merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke sekolah berkenaan.

Fadhlina (tengah) berbual dengan pelajar dan guru SMK Dr Burhanuddin pada Sabtu.
Fadhlina (tengah) berbual dengan pelajar dan guru SMK Dr Burhanuddin pada Sabtu.

Fadhlina menambah, pelajar dan guru sekolah terbabit menyambut beliau dengan penuh mesra sepanjang lawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau mahu murid di SMK Dr Burhanuddin terus gigih berusaha bagi meningkatkan keputusan akademik masing-masing.

Menurutnya, sekolah itu telah menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan dalam beberapa tahun terakhir namun diyakini masih boleh dipertingkatkan lagi.

Fadhlina turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada SMK Dr Burhanuddin.

"Ia khusus bagi tujuan tambah baik infrastruktur dan penyelenggaraan kemudahan demi keselesaan murid, guru dan seluruh warga sekolah," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!