Liverpool perlukan benteng tambahan

KAPTEN Liverpool, Virgil van Dijk mengakui kehadiran pemain pertahanan baharu mampu mempercepatkan proses penambahbaikan skuad The Reds ketika kelab itu sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat kapten Crystal Palace, Marc Guehi.
Liverpool membuka tirai aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan penuh dramatik selepas menewaskan Bournemouth 4-2 hasil jaringan lewat Federico Chiesa dan Mohamed Salah di Anfield.
Skuad kendalian Arne Slot itu pada mulanya mendahului dua gol, namun hampir dikecewakan selepas Antoine Semenyo meledak dua gol untuk pelawat sebelum tuan rumah kembali menguasai perlawanan.
Bagaimanapun, dari sudut pertahanan, Liverpool masih belum mencapai tahap terbaik apabila turut dibolosi dua gol ketika tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Arsenal dalam aksi Perisai Komuniti minggu lalu.
Setakat ini, The Reds hanya membawa masuk pemain muda berusia 18 tahun, Giovanni Leoni sebagai tambahan di posisi bek tengah, namun mereka juga dilaporkan sudah mengadakan perbincangan dengan Guehi yang kontraknya bakal tamat hujung musim ini.
Van Dijk sendiri mengakui tambahan tenaga baharu di bahagian pertahanan amat penting bagi memperkukuh benteng pasukan.
“Orang boleh kata kami perlu mempercepatkan (penambahbaikan), tetapi semua itu bergantung kepada pasaran pemain.
“Kami hanya boleh fokus kepada apa yang ada sekarang. Dari segi bertahan, saya fikir ia sudah lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.
Menurutnya, Liverpool kini masih dalam proses menyesuaikan diri dengan beberapa muka baharu termasuk Jeremie Frimpong yang dibawa masuk dari Bundesliga serta Milos Kerkez yang masih muda dan bersemangat tinggi.
“Ia perlukan masa, itu perkara biasa. Tambahan pula kami bermain tanpa Ryan Gravenberch yang digantung.
“Yang paling penting, kami kena terus bekerja keras, cuba kekalkan rekod bersih tanpa bolos. Kami melepaskan dua gol ketika situasi transisi, dan itulah kelemahan yang wajib diperbaiki,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
