Polis kesan individu hantar mesej ugutan kepada isteri Rafizi

SHAH ALAM – Polis sedang mengesan individu yang menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli susulan insiden anak lelakinya diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, isteri Ahli Parlimen Pandan itu telah membuat laporan polis semalam (Khamis).
"Susulan itu, polis akan bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan bagi menjejaki pemilik nombor telefon berkenaan.
"Siasatan bagi kes ini dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya pada Jumaat.
Katanya, selain itu, polis turut mengambil keterangan doktor yang merawat anak mangsa bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Shazeli menerusi sidang akhbar pada Khamis memaklumkan polis meminta Rafizi supaya membuat laporan berkaitan yang didakwa diterima isterinya itu.
Shazeli berkata, perkara itu bagi memastikan tindakan susulan dapat dijalankan oleh pihak polis.
Sebelum ini media melaporkan Rafizi mendedahkan isterinya menerima dua mesej ugutan pada jam 1.12 pagi dan 11.02 pagi.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan seramai enam individu dirakam keterangan susulan kejadian melibatkan anak lelaki bekas Menteri Ekonomi itu di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Dalam kejadian 2 petang, anak Rafizi berusia 12 tahun itu diserang dua individu menunggang motosikal sebelum disuntik jarum berisi cecair.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

