Baru 3 bulan menikah, isteri dijerut dengan kabel Wi-Fi hingga mati

PONOROGO - Seorang lelaki tergamak membunuh isterinya yang baru dikahwini selama tiga bulan.
Pelaku dikenali sebagai Hartono atau HRO melakukan perbuatan itu terhadap Alip Rahayu atau ARA di Hutan Goa Lowo, Desa/Kecamatan Sampung, Kabupaten Ponorogo, Jawa Timur di Indonesia pada Selasa lalu.
Kapolres Ponorogo, AKBP Andin Wisnu Sudibyo berkata, siasatan awal mendapati motif pembunuhan itu kerana suspek berasa sakit hati dengan kata-kata mangsa.
Menurutnya, pasangan itu bernikah secara siri selama setahun setengah sebelum berkahwin secara rasmi.
"Pelaku menjemput isterinya lalu membawa ke lokasi pembunuhan. Ketika dalam perjalanan, mereka terlibat pergaduhan mulut. ARA dikatakan menghina orang tua Hartono hingga membangkitkan kemarahannya.
"Suspek kemudiannya mencekik leher ARA dengan kabel Wi-Fi yang ada di lokasi. Dia meninggalkan jasad mangsa dalam keadaan separuh bogel dan turut mengambil jaket dan telefon bimbit miliknya," ujar Andin.
Tambahnya, Hartono cuba mereka cerita kononnya ARA dibunuh ketika menagih hutang.
Pelaku berdepan dakwaan membunuh dengan sengaja dan boleh dikenakan hukuman penjara 15 tahun jika disabit bersalah.
Sementara itu, bapa mangsa, Agus Suyatno berkata, dia sudah mempunyai firasat Hartono akan menyakiti anaknya.
"Sejak dari awal saya tidak berkenan dengannya. ARA sudah bernikah sebanyak empat kali, saya merestui tiga perkahwinan sebelum ini. Tetapi, rasa agak berat hati dengan pernikahan bersama Hartono kerana dia seorang pemabuk," jelasnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

