Semakan jadual perkhidmatan Rapid KL berikutan Covid-19

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Berikutan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk menangani penularan Covid-19 dan memenuhi permintaan dalam tempoh yang mencabar ini, Rapid Rail Sdn Bhd, pengendali rangkaian rel Rapid KL di Lembah Klang akan menyemak semula perkhidmatannya kepada kekerapan 10 minit, dari 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, termasuk cuti umum.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Abdul Hadi Amran dalam kenyataan hari ini berkata, kekerapan baharu bermula 20 hingga 31 Mac.

“Kami akan terus memantau permintaan penumpang. Jika kami lihat keperluan untuk memendekkan kekerapan, tren tambahan akan dihantar. Dalam tempoh ini, kami menasihatkan penumpang yang masih memerlukan perkhidmatan kami, agar merancang perjalanan mereka dengan baik,” katanya.

Abdul Hadi juga memberi jaminan kepada semua penumpang Rapid Rail akan meneruskan aktiviti pembersihan di semua stesen dan di dalam tren untuk memenuhi piawaian keselamatan dan kebersihan yang tinggi.

“Aspek keselamatan dan kesihatan yang baik untuk penumpang dan kakitangan adalah keutamaan kami,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Penumpang boleh mendapatkan kemas kini perkhidmatan kami dari Rapid KL Facebook, Twitter atau Instagram. Sebagai alternatif penumpang boleh juga menghubungi talian bantuan Rapid KL di 03-7885 2585. - Bernama