Hanya kedai runcit, pasar borong, pasar awam boleh operasi

Pemilik premis perniagaan menutup premis masing-masing kecuali kedai runcit selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini. - Foto Bernama
Pemilik premis perniagaan menutup premis masing-masing kecuali kedai runcit selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang menegaskan hanya kedai runcit, pasar borong dan pasar awam sahaja dibenarkan beroperasi di negeri ini bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi manakala pasar awam pula hanya dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Bagaimanapun, semua premis menjual makanan boleh dibuka dengan syarat hanya perkhidmatan bawa pulang (take away) dan pandu lalu sahaja yang dibenarkan.

"Semua aktiviti berkaitan hiburan, sukan, perhimpunan di dewan dan premis kesihatan perlu ditutup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya untuk mendaftar kelahiran baharu, pendaftaran kematian dan pendaftaran dan penggantian kad pengenalan.

Wan Rosdy berkata, menyedari kepentingan keperluan kecemasan, bengkel membaiki kenderaan, pusat servis dan kedai tayar akan dibenarkan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 3 petang manakala bagi penghuni hotel, residensi dan asrama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) boleh kekal menginap di premis masing-masing.

"Semua ‘coffee house’ di hotel tidak dibenarkan beroperasi kecuali untuk kegunaan tetamu yang menginap di hotel sahaja. Semua kedai menjual makanan dan keperluan haiwan dibenarkan beroperasi sehingga jam12 tengah hari sahaja.

"Pusat asuhan kanak-kanak yang khusus untuk anggota perkhidmatan penting dibenarkan untuk terus beroperasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perintah Kawalan Pergerakan kepada semua rakyat Malaysia bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sesuai dengan Warta Kerajaan Persekutuan P.U (A) 87 pada 17 Mac 2020 bertujuan mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan wabak Pandemik ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memandang serius situasi semasa ancaman Covid-19 terutama perkembangan gelombang kedua yang membimbangkan.

Susulan itu katanya, kerajaan negeri mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, bagi membolehkan atur gerak yang lebih tersusun dan menyeluruh.

"Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri, membuat beberapa keputusan tersebut selaras dengan Arahan MKN 20," katanya.

Dalam perkembangan lain katanya semua Pejabat Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri (kecuali agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan penting) termasuk UTC Pahang dan RTC Pahang ditutup.

Katanya, Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Terminal Sentral Kuantan (TSK) dan Perkhidmatan Bas Domestik akan beroperasi tetapi premis selain tempat menjual makanan di lokasi itu ditutup.

"Semua urusan perbankan masih diteruskan tetapi penggunaan kemudahan perbankan internet lebih digalakkan. Operasi kilang bergantung kepada keputusan terkini kementerian berkenaan.

Wan Rosdy turut mengarahkan semua pemegang permit dan lesen batuan, mineral dan balak menghentikan aktiviti pemindahan dan pengeluaran bahan mineral, batuan dan balak termasuk memproses bahan tersebut.