Aktiviti pengusahasilan hutan dihentikan sementara

Mohamed Zin
Mohamed Zin
A
A
A
IPOH - Jabatan Perhutanan Perak memberhentikan sementara semua aktiviti pengusahasilan hutan termasuk lesen pembalakan berkuatkuasa semalam.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, tindakan itu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, antara tindakan awal diambil adalah menutup operasi Pejabat Perhutanan Negeri dan semua Pejabat Hutan Daerah serta Pejabat Hutan Renjer.

"Semua operasi kuari dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) dan kilang Industri Berasas Kayu (IBK) turut ditutup, tidak terkecuali Taman Eko-Rimba milik Jabatan Perhutanan Negeri Perak," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam

Katanya, jabatan juga melakukan pemberhentian sementara semua lesen pembalakan dalam HSK, tanah kerajaan, tanah milik dan lesen kecil sehingga arahan lanjut dikeluarkan.
Artikel Berkaitan:


"Semua permohonan serta kelulusan Penyewaan Kemudahan dan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal dibatalkan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac ini," kata beliau.

Beliau bagaimanapun berkata, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan hutan di seluruh negeri berjalan seperti biasa mengikut jadual rondaan yang telah ditetapkan.

Segala aduan dan pertanyaan berhubung penutupan operasi pejabat dan pemberhentian semua aktiviti terbabit boleh menghubungi Ketua Penolong Pengarah (Operasi dan Penguatkuasaan Hutan), Amsari Mahmud di talian 019-3346367 atau Penolong Pengarah (Operasi dan Penguatkuasaan Hutan), Harman Baharudin 016-2092512.