Arsenal diramal terus kempunan trofi EPL

PENANTIAN Arsenal selama lebih dua dekad untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dijangka berterusan selepas tiga ikon bola sepak England meramalkan satu lagi musim penuh kekecewaan buat skuad kendalian Mikel Arteta.
Gary Lineker, Alan Shearer dan Micah Richards sependapat bahawa walaupun Arsenal berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas ini, mereka masih berkemungkinan besar gagal meraih gelaran.
Dalam tiga musim terakhir, The Gunners menamatkan saingan di tangga kedua dan kali ini pengurusan kelab bertindak agresif menambah kekuatan pasukan.
Penyerang prolifik Viktor Gyokeres dan jeneral tengah Martin Zubimendi mengetuai senarai pembelian diikuti Noni Madueke, Cristhian Mosquera, Christian Norgaard serta penjaga gol Kepa Arrizabalaga.
Namun, Shearer meragui bahawa pembelian tersebut mampu mengubah nasib Arsenal.
“Arsenal merekrut pemain yang bagus tetapi saya belum nampak kekuatan tambahan yang cukup untuk menjuarai liga,” katanya menerusi audio siar The Rest Is Football.
Lineker turut bersetuju sambil menegaskan ancaman Liverpool yang semakin mantap bakal menjadi penghalang besar.
“Gyokeres akan menjadi kunci tetapi tetapi saya percaya mereka tetap tersungkur di penghujung,” katanya.
Bagi Richards, risiko paling besar datang daripada masalah klasik Arsenal iaitu kecederaan pemain utama.
“Gyokeres memberi sesuatu yang tiada pada Havertz, iaitu naluri semula jadi seorang penyerang. Tetapi jika satu atau dua pemain penting terpaksa diketepikan, senarionya boleh berulang seperti musim lalu,” jelasnya.
Arsenal akan membuka kempen musim ini dengan ujian getir menentang Manchester United di Old Trafford pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

