X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga sektor dunia dibadai Covid-19

Pakar ekonomi yang juga Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma.
A
A

LANGKAH penutupan atau sekatan pintu masuk oleh negara-negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 akan menyebabkan tiga sektor utama terjejas sekali gus menyebabkan ekonomi dunia merudum.

Pakar ekonomi yang juga Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma menjelaskan, tiga sektor berkenaan yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi dunia adalah sektor perkhidmatan, logistik dan perkilangan.

“Apa yang berlaku sekarang, satu daripadanya adalah dari segi kesan ekonomi. Penutupan, sekatan atau lockdown akan menjejaskan sektor-sektor yang dianggap penting iaitu sektor perkhidmatan seperti perdagangan dan pelancongan.

“Yang kedua, logistik dan ketiga adalah perkilangan. Itu di peringkat makro. Ia juga menjejaskan perdagangan antara negara. Kalau kita tengok logistik, ia melibatkan pelabuhan. Bukan semua benda boleh didagangkan secara online atau sebagainya. Itu yang akan menjejaskan ekonomi dunia,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Malah, katanya, kebanyakan negara yang terjejas akan lebih mengutamakan kaedah untuk menangani penularan wabak itu berbanding memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

“Maknanya wang yang akan digunakan untuk perkara lain atau sebagainya terpaksa disalurkan untuk tujuan ini.

“Kalau kita tengok Malaysia, negara kita terpaksa memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi. Banyak negara melakukan benda sama iaitu pakej rangsangan yang serupa seperti Jepun, Singapura dan lain-lain.

“Pakej rangsangan itu juga kaedah untuk merangsangkan ekonomi agar ekonomi itu terus bergerak sekali gus memulihkan ekonomi sesebuah negara,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengisytiharkan wabak Covid-19 sebagai pandemik selepas gelombang kedua menyaksikan negara di Eropah khususnya Itali menunjukkan peningkatan jangkitan yang drastik.

Sektor perkilangan adalah antara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.
Sektor perkilangan adalah antara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Sehingga semalam, lebih 181,000 orang dijangkiti dan lebih 7,100 orang dilaporkan maut akibat daripada penularan wabak berkenaan.

Itali menjadi negara pertama di luar China mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara selepas lebih 27,980 orang dijangkiti dan mengorbankan 2,158 nyawa.

Sementara itu di Malaysia, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.

Mengulas lanjut Madeline berkata, ekonomi sesebuah negara yang terjejas akibat penularan wabak Corona-19 akan mengambil masa dalam tempoh empat hingga lima bulan untuk pulih.

Bagaimanapun, menurut Madeline, pemulihan ekonomi itu bergantung terhadap langkah pencegahan yang maksimum dilakukan oleh negara terjejas bagi menangani wabak berkenaan.

Mengambil contoh China, Madeline berkata, negara berkenaan mengambil langkah drastik dalam tempoh tiga bulan sebaik Covid-19 mula dikesan di Wuhan pada Disember tahun lalu.

Katanya, langkah tersebut termasuklah pembinaan hospital khas, perintah berkurung dan menutup semua pintu masuk di wilayah berkenaan.

Malah, katanya, inisiatif kerajaan China dalam mengawal penularan wabak berkenaan boleh dianggap sebagai suatu kejayaan.

“Saya positif meramalkan bahawa ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19 akan pulih dalam tempoh empat hingga lima bulan bergantung kepada bagaimana sesebuah negara itu menggunakan sumber-sumber yang mereka ada untuk mengawal penularan wabak itu,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus