Ibu maut, kereta dipandu anak kemalangan dengan lori

Ibu maut manakala anak perempuannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori. Foto JBPM Melaka
Ibu maut manakala anak perempuannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori. Foto JBPM Melaka
A
A
A

JASIN - Ibu maut manakala anak perempuannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Nyalas Kampung Pondok Batang di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 66 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk penumpang hadapan, manakala anaknya yang memandu kereta jenis Perodua Viva cedera.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin, Pegawai Bomba Kanan I Azman Md Dawam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.32 tengah hari menerusi talian MERS 999.

Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu wanita berusia 23 tahun bersama ibunya dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan buah-buahan.

“Kedua-dua mangsa tersepit di bahagian hadapan kenderaan dan penumpang warga emas disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, pemandu lori berusia lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujar beliau, mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut sementara yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!