Indonesia sedia kemudahan rawat 2,000 penduduk Palestin cedera

JAKARTA - Indonesia akan menjadikan kemudahan perubatan di pulau tidak berpenghuni di Galang untuk merawat kira-kira 2,000 mangsa cedera dari Gaza.
Jurucakap Presiden, Hasan Nasbi pada Khamis berkata, penduduk Palestin yang sudah sembuh akan dihantar pulang ke tanah air mereka.
"Jakarta sedia memberikan bantuan perubatan buat kumpulan tersebut. Ia hanyalah langkah pemindahan sementara untuk mendapatkan rawatan," jelasnya.
Difahamkan, kemudahan di luar Pulau Sumatera dan selatan Singapura itu akan turut menempatkan ahli keluarga pesakit.
Hasan bagaimanapun tidak memberikan jangka masa atau butiran lanjut tentang rancangan tersebut selepas Indonesia antara negara yang secara konsisten menyalurkan bantuan buat penduduk Palestin yang menjadi mangsa perang genosid di Gaza.
Pelan itu diumumkan beberapa bulan selepas tawaran Presiden Prabowo Subianto untuk melindungi penduduk Gaza yang cedera mendapat tentangan ulama terkemuka Indonesia kerana didakwa hampir sama dengan saranan dibuat rakan sejawatan beliau di Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mencadangkan pemindahan paksa golongan tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

