Polemik RON95 untuk warga asing: SKMM siasat dakwaan penafian babitkan Muhyiddin

Muhyiddin.
Muhyiddin.
A
A
A

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melaksanakan siasatan berhubung satu dakwaan yang telah dinafikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

SKMM dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media Pejabat Perdana Menteri yang menggesa siasatan dijalankan segera.

“Sehubungan itu, SKMM akan mengambil tindakan segera dan sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” kata suruhanjaya berkenaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Muhyiddin mempertahankan pemberian subsidi petrol RON95 kepada warga asing pada saat kerajaan kini memperketatkan penyalurannya hanya untuk keperluan rakyat tempatan.

Dakwaan itu segera dinafikan oleh bekas Perdana Menteri itu yang menyifatkannya sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan bahawa semasa pentadbiran beliau, subsidi RON95 diberikan kepada semua rakyat Malaysia dan tiada dasar yang melindungi kepentingan warga asing.

Beliau turut mencabar Anwar untuk mengemukakan bukti jika benar wujud kenyataan sedemikian.

Sementara itu, SKMM turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan sebarang kandungan yang tidak sahih.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!