Penyeludupan PATI gagal, syabu 10.355kg serta 3.6kg pil ekstasi dirampas

SHAH ALAM - Penahanan seramai 239 individu bagi kes pemerdagangan dan penyeludupan migran turut melibatkan rampasan dadah jenis syabu serta pil ekstasi di sekitar Selangor sejak Januari lalu.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, statistik setakat 4 Ogos merekodkan sebanyak 10 serbuan.
Menurutnya, daripada jumlah tangkapan itu, 15 individu merupakan tekong yang terdiri daripada lapan warga tempatan dan tujuh warga Indonesia, manakala 224 orang lagi adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Semasa tangkapan kes Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) itu, pasukan serbuan telah merampas dadah jenis syabu seberat 10.355 kilogram (kg) serta 3.60kg pil ekstasi selain dua kenderaan pada 21 Jun dan 22 Julai.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah Hakemal, sepanjang tempoh tersebut, Briged Tengah PGA telah melaksanakan 288 serbuan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang membawa kepada penangkapan 1,005 individu serta rampasan bernilai RM1.1 bilion.
Menurut beliau, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.
“Polis menyeru kerjasama masyarakat untuk menjadi barisan hadapan dalam menyalurkan maklumat sebagai mata dan telinga kepada pasukan keselamatan demi memastikan sempadan negara bebas daripada pencerobohan dan aktiviti haram,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
