'Berlagak pakai kereta mewah tapi cukai jalan tak mampu bayar'

Muhammad Kifli menunjukkan antara kenderaan mewah yang disita dalam operasi dijalankan sebelum ini.
Muhammad Kifli menunjukkan antara kenderaan mewah yang disita dalam operasi dijalankan sebelum ini.
A
A
A

MASIH wujud segelintir pemilik kenderaan mewah yang sanggup memandu kereta bernilai ratusan ribu malah jutaan ringgit, tetapi culas memperbaharui cukai jalan dan insurans.

Pelik tetapi benar, apabila kenderaan bernilai jutaan ringgit disita kerana tidak ada cukai jalan seperti mana kereta Rolls-Royce bernilai RM3 juta milik seorang ahli perniagaan yang disita dalam Operasi Op Luxury 2.0 itu dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di sekitar Lembah Klang sejak Rabu lalu.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi tersebut mengesan pelbagai kesalahan termasuklah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.

Beliau memberitahu, antara kesalahan lain dikesan adalah tiada perlindungan insurans sah, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen yang sah serta penggunaan nombor pendaftaran yang belum didaftarkan.

Jika mampu memandu kereta jutaan ringgit, mengapa tidak mampu atau enggan melunaskan komitmen serendah beberapa ribu ringgit setahun untuk cukai jalan dan perlindungan insurans?

Apa guna memandu kereta mewah yang menarik perhatian ramai, tetapi sebenarnya menjadi liabiliti kepada pengguna jalan raya lain?

Tanpa insurans, sebarang kemalangan bukan sahaja tidak dilindungi, malah boleh menjerumuskan pihak lain ke dalam masalah besar dari sudut pampasan dan tanggungan kos.

Fenomena itu secara tidak langsung memperlihatkan betapa pentingnya masyarakat menilai semula keutamaan dalam kehidupan.

Lebih baik memandu kereta biasa asalkan lengkap dengan cukai jalan dan insurans, berbanding kenderaan mewah tetapi kosong perlindungan.

Artikel Berkaitan:

Golongan terbabit sebenarnya bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan imej pemilik kenderaan mewah lain yang bertanggungjawab.

Mereka yang benar-benar mampu sudah tentu tidak akan mengabaikan perkara sekecil itu kerana memahami nilai keselamatan dan pematuhan undang-undang.

Tindakan JPJ melancarkan Ops Luxury amat dialu-alukan dan ia bukan sahaja bertujuan mengesan mereka yang ingkar, tetapi juga memberi mesej jelas bahawa tiada siapa kebal di jalan raya, walaupun memandu kenderaan bernilai jutaan ringgit.

Jika malu untuk memandu kereta biasa, adalah lebih memalukan bila ditahan kerana memandu kereta mewah tanpa cukai jalan dan insurans.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!