Ops Luxury: JPJ buru pemilik kenderaan mewah ingkar perbaharui cukai jalan, tiada insurans

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Ops Luxury secara besar-besaran di seluruh negara bagi mengesan pemilik kenderaan mewah yang ingkar memperbaharui cukai jalan dan insurans.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi bersepadu itu menyasarkan pemilik-pemilik kenderaan mewah yang masih berdegil.
“Ketika ini, operasi masih berjalan dan JPJ akan mengadakan Ops Luxury besar-besaran dalam masa terdekat di seluruh negara.
“JPJ telah mengenal pasti pemilik serta lokasi kenderaan mewah yang tidak mempunyai cukai jalan dan insurans sah,” katanya pada Ahad.

Katanya, pemilik dinasihatkan agar segera memperbaharui cukai jalan masing-masing sebelum tindakan sitaan dilaksanakan.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk pemilik kenderaan mewah, yang dengan sengaja melanggar peraturan jalan raya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan JPJ memiliki senarai lebih 1,000 kenderaan mewah di seluruh negara yang dikesan tidak memperbaharui cukai jalan untuk tempoh yang lama.
Malah, sebanyak 53 buah kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit setiap satu telah disita menerusi Ops Luxury yang dijalankan selama tiga hari di sekitar Lembah Klang bermula 30 Julai lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

