Bayi dilahirkan dari embrio dibekukan hampir 31 tahun

TENNESSEE – Pasangan dari Ohio, Amerika Syarikat, menyambut kelahiran seorang bayi lelaki hasil embrio yang telah dibekukan selama hampir 31 tahun, menjadikannya antara embrio paling lama disimpan sebelum berjaya dilahirkan.
Thaddeus Daniel Pierce dilahirkan pada 26 Julai lalu di sebuah hospital di Knoxville, Tennessee, dengan berat tiga kilogram.
Embrionya dibekukan pada tahun 1994, tahun filem Forrest Gump ditayangkan dan permainan PlayStation dilancarkan.
Pasangan Lindsey Pierce, 35, dan suaminya, Tim Pierce, 34, menerima embrio itu daripada Linda Archerd, 62, yang menjalani rawatan kesuburan IVF pada 1990-an. Archerd menyumbang tiga embrio kepada program pengangkatan embrio Kristian, Snowflakes.
Daripada tiga embrio yang dihantar ke klinik Rejoice Fertility, hanya dua bertahan selepas proses nyahbeku dan satu berjaya ditanam serta membesar menjadi Thaddeus.
“Kami tidak berniat mencipta rekod, kami cuma mahu bayi,” kata Pierce.
Kelahiran Thaddeus berlaku ketika perdebatan di Amerika Syarikat mengenai status undang-undang embrio beku masih berlanjutan, selepas mahkamah di Alabama menyamakan embrio dengan kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, bagi Linda Archerd, ia satu kelegaan.
“Saya pernah menganggap embrio itu sebagai ‘tiga harapan kecil’. Sekarang, salah satunya hidup di dunia nyata,” katanya. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

