93kg ganja dirampas, sindiket guna remaja sebagai penjaga, penghantar

Adzli (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan ganja yang berjaya dirampas di Bukit Kayu Hitam.
Adzli (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan ganja yang berjaya dirampas di Bukit Kayu Hitam.
A
A
A

JITRA - Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun merupakan antara empat individu yang ditahan dalam operasi menumpaskan sindiket pengedaran ganja yang dipercayai berpangkalan di Danok, Thailand.

Dalam tiga serbuan berasingan di Bukit Kayu Hitam dan Changlun, polis merampas sebanyak 93.77 kilogram (kg) ganja bernilai lebih RM290,000.

Sindiket tersebut dikesan aktif sejak Mac lalu dan menggunakan remaja sebagai penjaga serta penghantar dadah.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tangkapan dilakukan hasil kerjasama dengan polis Perlis dan pihak berkuasa Thailand.

“Tangkapan pertama berusia 18 tahun dan berperanan sebagai penjaga ganja yang disorokkan di kawasan semak Felda Laka Temin dengan upah RM100.

"Tangkapan kedua pula dikenal pasti sebagai penghantar atau transporter,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada Ahad.

Tambah beliau, dua lagi suspek yang masing-masing berusia 20-an berperanan sebagai perancang sindiket dan pembiaya operasi.

Modus operandi sindiket itu melibatkan penggunaan motosikal sewa dari Thailand, di mana ganja disembunyikan di bawah tempat duduk dan dibawa masuk ke Malaysia dalam kuantiti kecil.

Menurut Adzli, satu perjalanan boleh memuatkan sehingga 20kg ganja dengan upah sekitar RM400.

Artikel Berkaitan:

Kesemua bekalan dadah itu akan ditransitkan di kawasan Ladang Rakyat, Laka Temin sebelum dihantar ke Kuala Lumpur untuk diedarkan.

Siasatan mendapati tiga daripada empat suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

Semua suspek kini direman antara empat hingga enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut polis, jumlah rampasan ganja itu cukup untuk digunakan hampir 190,000 penagih dadah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!