Esscom nafi anggota terlibat tembakan rambang

HAZANI
HAZANI
A
A
A

LAHAD DATU – Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali menafikan penglibatan anggotanya dalam kejadian tembakan secara rambang di sebuah ladang, Sabtu lalu.

Bagaimanapun katanya, kejadian berkenaan dikenal pasti dilakukan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota Esscom.

Hazani berkata, pihaknya difahamkan sekumpulan lelaki berusia dalam lingkungan 33 hingga 44 tahun itu menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu DMAX datang ke pintu utama ladang itu pada jam 4.32 petang.

“Salah seorang lelaki daripada kumpulan itu menyamar sebagai anggota ESSCOM, mereka mendesak pengawal keselamatan yang bertugas di pintu utama ladang berkenaan supaya membenarkan mereka memasuki kawasan itu untuk tujuan memburu," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, apabila kumpulan itu tidak dibenarkan masuk, salah seorang daripada mereka bertindak melepaskan beberapa das tembakan secara rambang menggunakan senjata api ke udara ketika berada di luar pintu utama ladang berkenaan.

“Selepas melepaskan beberapa das tembakan, mereka kemudian mengutip kelongsong peluru tersebut dan terus beredar," katanya.

Menurutnya, difahamkan satu laporan polis telah dibuat oleh pihak pengurusan ladang itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran untuk tindakan selanjutnya.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan. Pihak berkuasa sedang giat mengesan kesemua suspek yang terlibat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta kepada semua pihak supaya menghubungi Pusat Operasi Esscom di talian 08-9863181 sekiranya wujud keraguan mengenai identiti seseorang atau mahu mengesahkan identiti anggotanya yang ingin memasuki sesebuah premis, ladang dan sebagainya.