Tiga kedai dua tingkat di Jalan Ungku Puan terbakar

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Kebakaran membabitkan tiga unit kedai dua tingkat di Jalan Ungku Puan pada pagi Sabtu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.55 petang.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Nordatul Badrol Abd Rahman berkata, panggilan kecemasan mengenai insiden itu diterima pada jam 7.28 pagi.
Beliau memaklumkan, operasi pemadaman disertai 31 anggota dari BBP Larkin, Tebrau dan Kota Tinggi bersama enam jentera termasuk FRT, EMRS, RIM, tangki air dan Triton.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO), didapati benar berlaku kebakaran melibatkan tiga unit kedai kekal setiap satu. Kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dan empat pancutan air.

“Sumber air diperoleh daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran. Namun, operasi menghadapi kesukaran susulan tekanan air pili bomba yang rendah. Pihak SAJ telah dihubungi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, kebakaran dianggarkan memusnahkan kira-kira 95 peratus struktur bangunan tersebut, bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa.
Video kebakaran bangunan kedai yang terletak di tengah pusat bandar Johor Bahru itu tular di media sosial.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


