Penganggur didakwa rogol bekas kakak ipar

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan merogol bekas kakak iparnya, dua tahun lalu.
Lelaki berusia berusia 31 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berumur 31 tahun enam bulan, di unit pangsapuri di Bandar Bukit Jalil, pada jam 3.30 pagi, 22 Januari 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Hilmi Latif mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin.
“Bagaimanapun, jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, saya mencadangkan ia ditetapkan pada kadar tinggi iaitu RM30,000 dengan seorang penjamin.
“Termasuk syarat tambahan melaporkan diri sekali setiap bulan di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes ini selesai,” katanya.
Selepas tertuduh memaklumkan tiada ahli keluarga hadir untuk membayar jaminan, Siti Shakirah menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

