Gaji minimum RM1,700 dikuat kuasa hari ini - Kesuma

SHAH ALAM – Kerajaan secara rasmi menguatkuasakan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2024 yang menetapkan kadar baharu sebanyak RM1,700 sebulan bermula hari ini.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa arahan ini khusus bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja serta tidak menjalankan aktiviti profesional seperti yang diklasifikasikan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) 2020.
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan berkuat kuasa serta-merta seiring dengan pewartaan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2025, yang turut memperluaskan pelaksanaan gaji minimum kepada golongan 'pekerja kontrak perantisan'.
Kontrak perantisan merujuk kepada pekerja yang diambil dan dilatih secara sistematik oleh majikan dalam sesuatu bidang kemahiran, dalam tempoh antara enam hingga 24 bulan.
"Sepanjang tempoh latihan itu, perantis terikat untuk bekerja bersama majikan yang melatihnya.
“Pindaan ini merupakan usaha berterusan kerajaan bagi memastikan kebajikan semua golongan pekerja, termasuk perantis, terus terbela,” katanya.
Dalam masa yang sama, Kesuma turut merakamkan penghargaan kepada majikan yang telah terlebih dahulu melaksanakan bayaran gaji minimum kepada pekerja perantisan.
Kementerian itu turut mengingatkan bahawa mana-mana majikan yang membayar lebih daripada kadar minimum tidak dibenarkan menurunkan kadar tersebut.
“Kesuma juga menggesa semua majikan supaya mematuhi undang-undang berkaitan gaji minimum yang kini dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTK Sabah) dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak).
“Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh menyebabkan majikan dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja jika disabitkan kesalahan,” menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

