153,000 pekerja GLC, GLIC bakal nikmati gaji kehidupan wajar RM3,100 sebulan

PUTRAJAYA - Seramai 153,000 kakitangan daripada 34 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bakal menerima gaji kehidupan wajar RM3,100 sebulan hasil komitmen di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif tersebut merupakan antara pencapaian utama GEAR-uP dalam tempoh kurang setahun pelaksanaannya sejak Ogos 2024, selari dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan membawa reformasi struktur dalam sistem penggajian negara.
"Gaji kehidupan wajar RM3,100 yang diperkenalkan mengambil kira kos sara hidup sebenar, terutama bagi mereka yang tinggal di bandar.
"Ia lebih tinggi berbanding gaji minimum kebangsaan sedia ada dan bertujuan memastikan pekerja dapat memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan pendidikan anak," katanya.
Beliau berkata demikian semasa taklimat khas bersama media di sini pada Isnin.
Menurutnya, pelaksanaan gaji kehidupan wajar ini membuktikan bahawa reformasi ekonomi bukan hanya berbentuk angka atas kertas tetapi diterjemahkan kepada hasil nyata buat rakyat.
“GEAR-uP bukan sekadar tentang penyaluran modal, ia berkisar tentang penyelarasan strategik.
"Kita sedang membuka kunci RM120 bilion untuk memacu industri masa depan, meningkatkan pendapatan, membina keupayaan serta menjayakan kemakmuran bersama,” jelasnya.
Ujar Amir, komitmen itu disokong oleh 34 GLIC dan GLC sebagai sebahagian daripada strategi nasional untuk menstruktur semula ekonomi berasaskan prinsip Ekonomi Madani, khususnya dalam aspek keadilan pendapatan dan kesejahteraan pekerja.
Beliau berkata, inisiatif gaji kehidupan wajar ini diperluaskan kepada lebih banyak GLC di bawah seliaan GLIC, dengan tumpuan kepada pencapaian bukan kewangan seperti pembangunan bakat Bumiputera, peningkatan produktiviti dan penciptaan nilai jangka panjang.
"Langkah pelaksanaan gaji kehidupan wajar ini dilihat sebagai pencetus kepada reformasi gaji lebih luas di sektor swasta, sejajar usaha kerajaan membina ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan saksama untuk semua," katanya.
Selain menumpukan kepada isu gaji, GEAR-uP turut menggerakkan pelaburan langsung domestik berjumlah RM11 bilion ke dalam sektor berimpak tinggi termasuk semikonduktor, peralihan tenaga dan pembangunan industri hijau.
“GEAR-uP memberi makna sebenar kepada kemajuan inklusif, bukan hanya memperkasa sektor industri dan pelaburan, tetapi memastikan rakyat mendapat bahagian yang adil dalam kekayaan yang dijana,” katanya.
GEAR-uP menyasarkan penglibatan lebih 30 GLC dengan sasaran nilai pasaran kolektif RM100 bilion dan pulangan kepada pemegang saham sebanyak 7.5 peratus, tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial dan kesejahteraan pekerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

