Pukul peragut sampai mati: 8 individu termasuk warga emas dibebaskan

KAJANG – Lapan individu termasuk seorang lelaki warga emas yang ditahan sebelum ini berkaitan kes memukul peragut hingga maut berhampiran Batu 9, Cheras, Selasa lalu telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kesemua suspek berumur antara 22 hingga 72 tahun sebelum ini ditahan dan direman selama enam hari bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian terbabit.
“Siasatan kes telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Khamis.
“Timbalan Pendakwa Raya kemudiannya mengarahkan semua tangkapan dibebaskan sementara dengan jaminan polis sehingga laporan penuh bedah siasat dan analisis Jabatan Kimia diperoleh bagi mengesahkan punca kematian,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini agar tampil bagi membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya lagi.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang guru tadika menempuh detik cemas apabila diragut oleh seorang individu dalam kejadian berkenaan.
Suspek lelaki yang dipercayai warga asing itu kemudiannya telah ditahan oleh orang awam di lokasi kejadian.
Pihak polis yang menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 11.10 pagi itu kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati lelaki terbabit terbaring dalam keadaan cedera serta tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat kesan pukulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
