SPR salur RM100,000 kepada SMK Agama Segamat

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyerahkan peruntukan berjumlah RM100,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, Johor, menerusi inisiatif Program Sekolah Angkat MADANI 2025.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, program itu dilaksanakan susulan peluncuran peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun lalu.
"Majlis penyerahan peruntukan telah diadakan di SMKA Segamat, pada jam 2.30 petang dengan dihadiri warga sekolah, pegawai SPR serta wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat.
"Dalam mesyuarat bersama SPR pada bulan Mei lalu, pihak sekolah bersama wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah mengutarakan pelbagai keperluan melibatkan aspek infrastruktur fizikal, ICT serta pembangunan guru dan pelajar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Khairul Shahril, berdasarkan peruntukan yang disediakan, SPR telah meluluskan beberapa program utama yang meliputi empat komponen penting.
Ujarnya, komponen pertama melibatkan pembangunan kurikulum melalui pelaksanaan Program Akademik Pelajar SPM/STPM dan Program Menuju STEM dengan jumlah peruntukan sebanyak RM31,000.
"Inisiatif ini bertujuan memperkukuh pencapaian akademik pelajar dan meningkatkan minat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
"Komponen kedua merangkumi pembangunan sahsiah dan kokurikulum, termasuk pelaksanaan kem kepimpinan serta program penghayatan hadis yang menerima peruntukan sebanyak RM12,000. Program ini dirangka bagi membentuk jati diri pelajar yang seimbang dari segi akademik dan rohani.
"Seterusnya, SPR turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi pembangunan profesionalisme guru, khususnya melalui pelaksanaan program latihan dalam perkhidmatan atau LADAP Digital. Langkah ini diambil bagi memperkasa kompetensi guru dalam pengajaran abad ke-21," katanya.
Jelas beliau lagi, komponen terakhir melibatkan keperluan infrastruktur ICT dengan peruntukan sebanyak RM52,000, merangkumi pembekalan dua unit papan putih interaktif bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta 50 unit komputer tablet untuk kegunaan pelajar.
Menurutnya, secara keseluruhan, kelulusan peruntukan tersebut membuktikan komitmen SPR dalam menyokong pembangunan menyeluruh pendidikan, meliputi aspek akademik, sahsiah, profesionalisme guru dan kemudahan teknologi.
"Program ini diharapkan menjadi pemangkin dalam peningkatan penyampaian pendidikan yang berkualiti, inklusif dan progresif, selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing, berpengetahuan dan berakhlak mulia.
"Melalui peruntukan yang disalurkan, warga sekolah bukan sahaja dapat menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih moden dan interaktif, malah berpeluang meningkatkan tahap pencapaian akademik serta sahsiah diri.
"Dalam masa yang sama, pelaksanaan program ini menzahirkan tanggungjawab sosial dan komitmen SPR
untuk terus berganding bahu dengan pelbagai pihak dalam membangunkan ekosistem pendidikan negara yang mampan dan holistik," katanya.
Sementara itu, pada majlis tersebut, Khairul Shahril turut menyempurnakan simbolik penyerahan 'mock cheque' peruntukan kepada Pengetua SMKA Segamat, Mohd Salleh Mohd Noor disaksikan oleh wakil Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam JPN Johor, Mohd Khairi Mabiai dan Pegawai PPD Segamat, Abdul Rahman Kechik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

