Infrastruktur terancang di Kulai, cerminan aspirasi Maju Johor

Mesyuarat Penuh MPKu di Dewan Persidangan MPKu pada Rabu.
Mesyuarat Penuh MPKu di Dewan Persidangan MPKu pada Rabu.
A
A
A

KULAI – Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) terus komited mempertingkat kemudahan infrastruktur bandar demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) Mohd Hafiz Aliman berkata, antara projek utama yang sedang berjalan ialah sistem smart pole, variable message signage (VMS), pengurusan air larian dan kerja-kerja penyelenggaran parit monsun.

"Kesemua projek ini berada di landasan yang betul dengan kemajuan purata antara 25 peratus hingga 70 peratus setakat ini. Ini membuktikan komitmen kita dalam memastikan infrastruktur bandar terus dipertingkat secara berterusan.

"Kesemua projek ini digerakkan secara tersusun dan terancang dengan pelaksanaan serta pengurusan yang cekap melibatkan kerjasama pelbagai agensi.

"Ia merupakan cerminan kepada aspirasi Maju Johor untuk memastikan setiap inci pembangunan membawa nilai tambah kepada rakyat khususnya masyarakat Kulai," katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penuh MPKu di Dewan Persidangan MPKu di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 68 borang bantahan telah diterima sepanjang tempoh publisiti Draf Rancangan Tempatan (RT) Kulai 2035 yang berlangsung baru-baru ini, membabitkan pelbagai isu termasuk kawasan kampung tradisi dan sistem saliran di bawah pentadbiran MPKu.

"Sesi pendengaran awam yang diadakan menjadi platform penting kepada orang ramai untuk menyuarakan pandangan, cadangan dan bantahan terhadap rancangan pembangunan yang dirangka sehingga tahun 2035.

“Proses ini penting bagi memastikan sebarang pembangunan, khususnya di kawasan kampung tradisi, tidak menjejaskan sistem saliran serta langkah-langkah pengurusan risiko banjir.

Artikel Berkaitan:

“Selain menangani risiko pembangunan yang tidak terkawal, kita juga mengambil kira kepentingan penggiat industri kecil dan sederhana (IKS) agar pertumbuhan ekonomi tempatan kekal mampan dan komuniti terus lestari,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!