NAFAS bawakan e-sukan dengan ganjaran RM10,000 sempena HPPNK 2025

SHAH ALAM – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) tampil dengan pendekatan holistik bagi memperkasa industri agromakanan negara sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 (HPPNK 2025) edisi ke-50.
Sebagai antara penaja utama HPPNK 2025, NAFAS memberi tumpuan kepada generasi muda, pembangunan industri dan pengukuhan kerjasama strategik di Sabah.
Agensi itu dalam satu kenyataan berkata, antara pengisian menarik adalah penganjuran e-sukan Siri 2 bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) yang melibatkan 32 pasukan.
“Pasukan terlibat seperti Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) bakal merebut hadiah keseluruhan bernilai RM10,000. Penyertaan adalah percuma, dengan pemenang bakal membawa pulang wang tunai, plak, sijil dan baju t eksklusif.
“NAFAS turut menambah kemeriahan acara dengan sesi ‘meet & greet’ bersama pengulas dan pempengaruh e-sukan seperti Ikuto, Kuro Sensei dan Sunfrost yang akan membuat siaran langsung sepanjang kejohanan,” katanya.

Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif termasuk permainan Kahoot, mesin arked, permainan konsol PlayStation 5 (PS5) dan pengalaman realiti maya (VR) akan berlangsung pada 1 hingga 3 Ogos nanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Di Pavilion HPPNK, NAFAS akan mengetengahkan pameran berkaitan rantaian industri padi yang merangkumi maklumat teknikal, jenis baja dan perkhidmatan sokongan kepada peladang.
Kaunter Dana Peladang Kebangsaan juga dibuka bagi memberi penerangan lanjut tentang peluang pelaburan dan pembiayaan dalam sektor pertanian.
Pameran jentera pertanian turut menjadi tumpuan dengan membawakan jentera CASE sebagai pendedahan kepada peladang mengenai teknologi mekanisasi terkini.
Dua syarikat subsidiari NAFAS iaitu NAFAS Bajakimia Sdn Bhd dan NAFAS Agri Services Sdn Bhd akan menawarkan jualan baja, khidmat nasihat teknikal serta perkongsian pengalaman berkenaan input pertanian jenama Peladang.
Bagi memeriahkan suasana, pelbagai produk makanan dan minuman jenama Peladang turut ditawarkan kepada pengunjung.
Menariknya, pelbagai hadiah lumayan menanti pengunjung menerusi peraduan 'Jawab dan Menang', cabutan bertuah dengan hadiah seperti motosikal, PS5, syiling wafer emas, skuter elektrik serta banyak lagi.
Penglibatan NAFAS dalam HPPNK 2025 bukan sahaja memperkukuh kehadiran organisasi di peringkat nasional, malah memperluas capaian perkhidmatannya ke Sabah, selaras dengan aspirasi mendekatkan perkhidmatan pertanian kepada rakyat.
Program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu dijangka menarik lebih 500,000 pengunjung dengan menampilkan empat fokus utama iaitu Agro Millenia, Cukup dan Terjamin, Sejahtera Madani serta Jualan Agro Madani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

