Dua remaja ditahan curi, joli duit datuk RM10,000 disimpan bawah katil

TAWAU - Demi mahu membeli barangan kosmetik, pakaian, makanan dan keperluan harian, dua remaja perempuan tergamak mencuri wang milik datuk mereka sendiri dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Merotai Besar di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga emas yang menyedari wang simpanannya di bawah tilam katil bilik tidur telah hilang kira-kira jam 7 malam Selasa lalu.
"Siasatan mendapati mangsa mengesyaki perbuatan itu dilakukan individu yang dikenalinya dan telah memaklumkan kepada anaknya untuk membuat laporan polis.
"Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah menjalankan siasatan dan menahan dua remaja perempuan berusia antara 13 hingga 15 tahun kerana disyaki terlibat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Jasmin, kedua-dua remaja itu disahkan sebagai cucu kepada mangsa dan tangkapan dibuat pada hari yang sama kira-kira jam 4.45 petang.
"Hasil siasatan mendapati wang yang dicuri dianggarkan berjumlah RM10,000 dan telah digunakan oleh suspek untuk membeli pakaian, kosmetik, makanan dan keperluan harian.
"Bagaimanapun, nilai keseluruhan wang yang hilang masih dalam siasatan dan dipercayai mencecah RM40,000," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun serta denda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
