Tsunami Jepun: Tiada rakyat Malaysia terjejas - Wisma Putra

SHAH ALAM - Kementerian Luar menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo memantau dengan teliti situasi di Jepun susulan amaran tsunami yang dikeluarkan Agensi Meteorologi Jepun awal pagi Rabu.
Susulan itu Wisma Putra menasihatkan semua rakyat Malaysia di kawasan terlibat supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi.
"Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat insiden tersebut.
"Bagaimanapun, semua warga Malaysia yang menetap atau sedang dalam perjalanan di kawasan terlibat digesa untuk mendaftar dengan Kedutaan dan kekal berhubung rapat bagi memastikan bantuan dapat disalurkan tepat pada masanya sekiranya perlu," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Terdahulu Jepun dan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi kuat berukuran 8.7 magnitud menggegarkan Semenanjung Kamchatka, Rusia pada Rabu.
Agensi Meteorologi Jepun pula memberi amaran bahawa gelombang tsunami setinggi hingga tiga meter dijangka melanda kawasan pantai timur Jepun yang menghadap Lautan Pasifik termasuk Hokkaido timur, Semenanjung Boso, Kepulauan Ogasawara, serta sebahagian kawasan di Shizuoka, Semenanjung Kii dan Prefektur Miyazaki.
Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo boleh dihubungi menerusi alamat 20-16, Nanpeidai-cho, Shibuya-ku, 150-0036 Tokyo atau talian telefon +81-3-3476-3840 dan +8180-4322-3366 (kecemasan) serta emel: mwtokyo@kln.gov.my / consular.tyo@kln.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
