Ketua Polis Selangor fokus persepsi awam, cabaran kepadatan penduduk

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Ketua Polis Selangor yang baharu, Datuk Shazeli Kahar memberi tumpuan terhadap cabaran kepadatan penduduk dan persepsi awam di negeri ini terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menggalas tanggungjawab besar di negeri paling maju dan berpenduduk padat, beliau menyatakan kesediaan untuk menyelaras langkah strategik bersama kerajaan negeri, agensi berkaitan serta komuniti setempat.
“Saya sedar bahawa tanggungjawab ini bukan mudah, lebih-lebih lagi ini adalah kali pertama saya berkhidmat di Selangor. Justeru, pendekatan bersepadu bersama semua pihak berkepentingan adalah keutamaan.
“Kita akan nilai cabaran sebenar berdasarkan situasi semasa dan terus menyusun strategi terbaik bersama pegawai kontinjen,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Selasa.
Shazeli secara rasmi mengambil alih tugas daripada Pemangku Ketua Polis Selangor dan memulakan tanggungjawab rasmi sebagai peneraju baharu pasukan keselamatan negeri ini.
Beliau sebelum ini merupakan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur.
Menurutnya, selain memberi fokus kepada kadar jenayah, usaha memperkukuh persepsi masyarakat terhadap PDRM juga menjadi antara keutamaan.
“Kita perlu berusaha meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis, kerana kepercayaan itu akan memudahkan pelaksanaan tindakan pencegahan jenayah dan penguatkuasaan.
“Persepsi positif mampu menjadi benteng awal dalam membina kerjasama masyarakat serta mengurangkan potensi konflik,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama rapat dengan media akan diteruskan bagi memastikan masyarakat menerima maklumat keselamatan yang tepat dan berterusan.
“Saya amat mengharapkan bantuan dan sokongan rakan-rakan media untuk menyebarkan maklumat yang sahih, supaya masyarakat sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” ujarnya.
Dalam masa sama, Shazeli menegaskan bahawa PDRM Selangor akan terus berpegang kepada prinsip keterbukaan dan ketelusan dalam menjalin hubungan dengan masyarakat.
“Saya percaya kerajaan negeri juga berkongsi hasrat yang sama untuk memastikan rakyat hidup dalam suasana aman.
“Kita tidak boleh bergerak secara bersendirian dalam hal keselamatan,” katanya.
Beliau menggantikan Datuk Hussein Omar Khan yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

