Bank Rakyat terus bantu asnaf menjadi usahawan

KUALA LUMPUR - Seramai 800 usahawan dan siswa asnaf berpotensi dipilih untuk menyertai program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur bagi tahun 2025.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, program berkenaan bertujuan membantu meningkatkan keupayaan golongan asnaf dalam memperkukuh kedudukan kewangan serta menguasai kemahiran digital.
“Pelaburan sosial Bank Rakyat ini memberi impak yang mampan dan bersifat eksklusif. Kejayaan usahawan yang terlibat mampu menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang lain,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini pada Selasa.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, kedua-dua program tersebut telah berkembang secara berfasa sejak diperkenalkan pada tahun 2021.
Menurutnya, edisi kali ini akan berlangsung selama enam bulan, bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Januari 2026 dengan peruntukan sebanyak RM3.82 juta, berfokuskan kepada teknologi dan pendigitalan dalam perniagaan.
“Pada tahun 2024, sebanyak 80 peratus atau 259 usahawan di bawah program RAKYATpreneur dan UNIpreneur mula menyimpan hasil jualan secara konsisten, manakala 76 peratus berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” katanya.
Peserta berjaya raih pendapatan lima angka, tembusi pasaran United Kingdom (UK) dan Rusia
Salah seorang alumni RAKYATpreneur, Mohammad Zamzum Duhari ketika ditemui pada majlis tersebut berkata, program itu banyak membantu golongan asnaf dalam meningkatkan taraf hidup.

“Tiga tahun lepas, saya merupakan penerima bantuan kerajaan. Keputusan menyertai program ini merupakan langkah yang tepat.
“Saya pernah mengalami saat tiada wang tunai untuk membeli susu anak dan berada di tangga paling bawah. Syukur, Bank Rakyat memberi saya peluang untuk mengubah kehidupan.
“Kini, saya mampu memperoleh pendapatan lima angka sebulan. Dengan bantuan yang disediakan, produk pes sambal Zamzum berjaya menembusi pasaran UK dan Rusia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
