Polis sedang lengkap kertas siasatan kes artis lelaki popular dakwa difitnah

Sulizmie Affendy
Sulizmie Affendy
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes pelakon dan penyanyi terkenal berhubung satu hantaran fitnah dan berunsur provokatif yang didakwa dimuat naik di platform media sosial 'Threads'.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) setelah siasatan lengkap.

“Kita telah merakam keterangan empat saksi termasuk pelakon dan penyanyi lelaki. Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat. 

“Kita (polis) serah kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti pemilik akaun media sosial 'Threads' yang membuat hantaran fitnah dan berunsur provokatif itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dilaporkan berkata, polis menerima laporan dibuat artis lelaki terbabit jam 4.12 petang pada 18 Julai lalu.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat susulan artis itu tidak berpuas hati berhubung hantaran dibuat pemilik akaun aplikasi 'Threads' yang didakwa mengandungi unsur fitnah, provokasi dan hasutan yang disebarkan secara umum.

Kes dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!