Polis serah kertas siasatan kes pelajar autisme

Shahrulnizam
Shahrulnizam
A
A
A

PETALING JAYA - Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes seorang pembantu pengurusan murid yang disyaki mengasari pelajar autistik di sebuah sekolah rendah di Kelana Jaya kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar, berkata polis kini sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak TPR untuk tindakan lanjut.

"Kertas siasatan telah dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya, sebarang perkembangan akan dimaklumkan nanti," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada 17 Mac lalu, media melaporkan bahawa polis telah selesai merakam keterangan pembantu pengurusan murid yang disyaki mengasari seorang kanak-kanak autistik berusia tujuh tahun.

Shahrulnizam dilaporkan berkata, siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada murid yang mempunyai masalah autisme dan kelewatan pertuturan yang mengamuk ketika hendak masuk ke kelas selepas diminta membuka kasut.

Ibu bapa murid berkenaan telah membawa anak mereka ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan, namun didapati tiada sebarang kecederaan.

Shahrulnizam berkata, keterangan guru besar, penolong kanan sekolah, dan ibu bapa murid berkenaan juga telah dirakam bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Shahrulnizam memaklumkan bahawa polis membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut selepas video memaparkan kejadian itu dimuat naik di aplikasi TikTok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!