Kes Zara Qairina: Henti buat spekulasi, siasatan sedang dijalankan - Polis

KOTA KINABALU - Polis Sabah meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu yang dipercayai terjatuh dari bangunan asrama di sebuah sekolah agama di Papar.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kejadian tersebut kini dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.
"Orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
"PDRM Kontinjen Sabah akan menjalankan siasatan menyeluruh dengan telus," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mangsa, Zara Qairina Mahathir, 13, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan dalam kejadian yang berlaku pada 16 Julai lalu.
Dia disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Insiden menyayat hati itu turut dikaitkan dengan dakwaan wujudnya unsur buli di sekolah terbabit, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Sehingga kini, desakan agar siasatan dijalankan secara adil dan menyeluruh terus disuarakan.
Ia termasuk menerusi media sosial dengan tanda pagar #JusticeForZara sebagai simbol solidariti dan keprihatinan terhadap insiden berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
