Polis belum terima makluman rasmi Himpunan Rakyat Honggaq Kedah

ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Polis Kedah memaklumkan bahawa sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Honggaq Kedah yang dikhabarkan akan berlangsung pada 24 Ogos depan.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial dan belum menerima maklumat lanjut secara rasmi daripada pihak penganjur.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan. Kita tidak boleh menghalang mereka daripada berhimpun.
“Namun saya nasihatkan agar semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan,” katanya sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Isnin.
Terdahulu, hebahan awal mengenai perhimpunan tersebut tular di platform TikTok dan menurut maklumat tidak rasmi, program itu dirancang berlangsung di hadapan Wisma Darul Aman pada jam 2 petang, membabitkan kehadiran beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta individu perseorangan bagi menyerahkan memorandum.
Perhimpunan itu dipercayai dianjurkan oleh pihak tertentu bagi menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan tujuan mendesak beliau melepaskan jawatan.
Adzli turut mengingatkan bahawa perhimpunan awam perlu diadakan secara aman dan tidak melibatkan isu-isu sensitif seperti 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja.
“Peserta juga tidak dibenarkan membawa senjata, membawa kanak-kanak atau mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi. Ini penting untuk memastikan keselamatan semua pihak,” tambahnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah dan Pemakaian Lencana Pangkat di IPK Kedah yang disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ibrahim Darus.
Pada majlis itu, jawatan Timbalan Ketua Polis Kedah diserahkan kepada Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin yang sebelum ini berkhidmat di Perlis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

