ASEAN OSH Summit 2025 tawar peluang keemasan bertaraf global

Chong Chieng Jen
Chong Chieng Jen
A
A
A

SHAH ALAM - Pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) perlu mengambil peluang keemasan sertai ASEAN Safety and Health Workers Summit 2025 (ASEAN OSH Summit 2025) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 4 dan 5 Ogos ini.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Chong Chieng Jen berkata, Persidangan KKP 2025 (Conference and Exhibition on Occupational Safety and Health – COSH 2025) yang dulunya program nasional kini telah dinaik taraf sebagai platform antarabangsa ASEAN.

"Ia bukan sekadar persidangan tetapi kini perhimpunan terbesar KKP di Malaysia dengan sijil penyertaan kali ini akan turut memaparkan logo ASEAN.

"KKP yang menyertai akan mengikuti program disediakan termasuk Persidangan KKP 2025 COSH 2025 dan NIOSH International Standards Seminar (NISS 2025)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

ASEAN OSH Summit 2025 dianjurkan NIOSH, sidang kemuncak yang memberikan fokus terhadap aspek KKP dan kesejahteraan pekerja tersebut akan menghimpunkan kira-kira 3,000 pengamal KKP dan lebih 70 pakar dari negara-negara ASEAN serta penceramah antarabangsa termasuk dari Denmark, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Turkiye.

Dianjurkan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Chieng Jen berkata, penganjuran ASEAN OSH Summit 2025 turut membuka lembaran baharu kepada kerjasama, inovasi dan pembentukan dasar serantau yang berpaksikan kesejahteraan pekerja.

"Selain COSH 2025 dan NISS 2025, turut berlangsung di sepanjang ASEAN OSH Summit 2025 ialah Mesyuarat Eksekutif Asian Occupational Safety & Health Research Institute AOSHRI Executive Meeting yang menghimpunkan institusi penyelidikan KKP dari 14 negara Asia, ASEAN++ Workshop and Technical Visit melibatkan pakar-pakar ASEAN dan negara rakan, MaRINA 3.0 Workshop bagi menetapkan keutamaan penyelidikan KKP untuk tempoh 2026 hingga 2030.

"Program ikrar OSH Integrity Pledge juga akan dicatat sebagai percubaan Guinness World Record untuk penyertaan terbesar dalam sejarah rantau ini. COSH 2025 dijangka menarik lebih 2,000 peserta dari dalam dan luar negara," katanya.

Menurutnya, ASEAN OSH Summit 2025 akan dihadiri penceramah daripada organisasi seperti International Labour Organization (ILO), SESRIC Türkiye, University of South Australia serta pakar dari Jepun, Australia, Thailand, Indonesia dan negara ASEAN lain.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ia akan membincangkan topik penting berkaitan keselamatan kerja termasuk pengurusan risiko psikososial, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), strategi ESG dalam persekitaran kerja dan masa depan pekerjaan yang lebih inklusif serta sihat dari segi mental.

"COSH 2025 dan NISS 2025 menawarkan peluang pembelajaran profesional yang komprehensif dengan pengiktirafan daripada pelbagai badan profesional dan pengawal selia.

"Semua peserta akan menerima 15 mata CEP daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), 16 CPD daripada Malaysian Medical Association (MMA), 15 myCPD daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta 16 CPD daripada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).

"Program ini juga boleh dituntut di bawah HRD Corp bagi majikan yang layak dan menerima bayaran melalui GL, LOU dan Pesanan Tempatan (LO) daripada agensi kerajaan," katanya.

Selain itu, menurut beliau, penganjur turut mengalu-alukan kunjungan orang ramai untuk menghadiri upacara pembukaan rasmi pada 4 Ogos 2025 dan melawat pameran KKP terbesar di rantau ini.

Ujarnya, pameran tersebut akan menghimpunkan lebih 60 syarikat industri dan agensi kerajaan termasuk dari bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

"Pelawat juga boleh mendapatkan khidmat nasihat, penyelesaian latihan serta menyaksikan demonstrasi teknologi terkini dalam bidang keselamatan pekerjaan. Kemasukan sebagai pelawat adalah percuma.

"Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, semua pihak dijemput untuk bersama-sama menjayakan perhimpunan bersejarah ini demi membina tempat kerja yang lebih selamat dan sihat untuk seluruh rantau Asia Tenggara," katanya.

Untuk pendaftaran COSH 2025, orang ramai boleh melayari laman web https://form.evenesis.com/NIOSHPAID/COSH manakala pendaftaran NISS 2025 boleh dibuat di https://form.evenesis.com/NIOSHPAID/NISS.

Bagi mereka yang berminat menyertai pameran atau ingin menyokong percubaan Guinness World Record melalui program OSH Integrity Pledge, maklumat dan borang penyertaan boleh didapati menerusi pautan rasmi ASEAN OSH Summit 2025 di https://aseanoshsummit.com.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!