Hari Pahlawan: Penduduk dinasihatkan tidak panik dengar letupan meriam

PUTRAJAYA - Penduduk dinasihatkan agar tidak panik apabila mendengar letupan meriam sempena Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan dalam raptai penuh serta pada hari acara di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, pada Selasa dan Khamis.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan tembakan meriam sempena Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan.
"ATM akan melaksanakan sebanyak dua das tembakan meriam pada raptai penuh dan 21 das tembakan pada hari acara.
"Penduduk dinasihatkan agar tidak panik apabila mendengar letupan meriam tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Aidi Sham berkata laluan yang terlibat semasa acara berlangsung adalah Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Lebuh Perdana Timur dan laluan sekitar Kompleks E.
"Kesesakan jalan raya dijangka berlaku dari jam 7 pagi hingga jam 10 pagi. Justeru, orang ramai dinasihatkan agar memberi kerjasama dan mematuhi isyarat yang diberikan oleh pihak polis bagi memastikan kelancaran istiadat perbarisan yang diadakan.
"Pihak polis menyeru orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
"Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline Polis Putrajaya di 03-8886 2222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
