Air Terjun Serendah, keindahan tersembunyi di Felda Bukit Sagu

KUANTAN – Menyusuri kira-kira 500 meter merentas hutan, terdapat air terjun di Felda Bukit Sagu 2 dan 3 yang kini menjadi tarikan pelancong.
Meskipun hanya setinggi empat meter, air terjun itu tetap memukau dengan suasana tenang, dikelilingi kehijauan hutan dan deruan air yang mendamaikan.
Nama ‘Air Terjun Serendah’ pula dipilih hasil persetujuan komuniti setempat, yang mahu mengekalkan identiti tempatan agar selari dengan ciri semula jadi kawasan tersebut.
Pengurus Felda Bukit Sagu 2 dan 3, Wan Mohamad Hairee Wan Abdul Razak berkata, lokasi ini mula dikenali dua tahun lalu selepas penemuan tapak kaki dan tangan besar di atas batu laterit.
Menurutnya, kawasan itu kini semakin dikunjungi bukan sahaja penduduk tempatan, malah pelawat dari luar kawasan.

“Laluan ke air terjun ini santai sahaja dan pengunjung boleh menikmati flora tropika, kicauan unggas hutan dan suasana yang cukup damai,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Bukit Sagu 2 dan 3 di sini pada Sabtu.
Wan Mohamad Hairee menambah, pihak pengurusan Felda kini sedang dalam perbincangan bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Tourism Pahang untuk mewartakan lokasi ini sebagai kawasan pelancongan rasmi.
Jelasnya, perancangan itu turut melibatkan pematuhan kepada semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan untuk destinasi rekreasi.

Beliau menambah, kawasan ini bukan sekadar menawarkan keindahan air terjun sekali gus berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan.
"Terdapat juga kawasan jenut, iaitu lopak semula jadi dalam hutan yang sering dikunjungi haiwan liar untuk menjilat sumber mineral seperti garam.
"Selain itu, ada tapak warisan Jejak Tok Sagu yang menampilkan kesan tapak kaki dan tangan misteri pada batu dipercayai milik tokoh lama bernama Tok Sagu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

