Himpunan berlangsung aman, 18,000 peserta hadir - KPN

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang tangkapan individu dibuat sepanjang Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, semua elemen kawalan dilaksanakan secara profesional dan beretika.
Menurutnya, ini mencerminkan pendekatan tenang serta tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan ruang demokrasi dapat diisi dengan selamat dan berhemah.
"PDRM telah melaksanakan tugas pemantauan dan kawalan keselamatan dengan penuh profesional dalam memastikan kelancaran perhimpunan yang melibatkan beberapa lokasi tumpuan termasuk sekitar Masjid Negara, pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni dan Dataran Merdeka.
"Peserta mula berkumpul secara berperingkat seawal jam 10.30 pagi sebelum perarakan bergerak menuju ke Dataran Merdeka sekitar jam 2 petang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, beberapa tokoh politik dan wakil pertubuhan hadir menyampaikan ucapan.
Kata Mohd Khalid, PDRM menugaskan seramai 3,000 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Bukit Aman untuk memudah cara perjalanan perhimpunan serta memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan, jumlah kehadiran peserta dianggarkan sekitar 18,000 orang.
"Secara keseluruhan himpunan berlangsung dalam keadaan aman, terkawal dan tanpa sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam," ujarnya.
Jelasnya, PDRM kekal komited dalam melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam, keselamatan negara serta kelangsungan hak rakyat dilindungi secara adil, berhemah dan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

