RCI Batu Puteh: 'Saya tidak langkau keputusan Peguam Negara' - Anwar

PUTRAJAYA - Keputusan kerajaan untuk tidak mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kedaulatan Batu Puteh yang dibangkitkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah keputusan Kabinet dan tidak melangkaui bidang kuasa Peguam Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, walaupun suruhanjaya berkenaan mengusulkan supaya laporan polis dibuat dan tindakan diambil terhadap Dr Mahathir, keputusan akhir adalah berdasarkan pertimbangan Kabinet.
Mengulas gesaan pembangkang yang membawa usul merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, Anwar menjelaskan bahawa Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hanya mengikut proses yang ada, namun belum membaca sepenuhnya laporan suruhanjaya tersebut.
“Itu dia (Takiyuddin) ikut proses sebab dia belum baca laporan suruhanjaya. Laporan pasukan khas mengusulkan supaya laporan dibuat terhadap Tun Mahathir atas dakwaan pengkhianatan terhadap negara serta tindakan susulan diambil.
“Jadi saya tidak melangkaui keputusan Peguam Negara. Ini keputusan Kabinet. Saya sudah meneliti perkara ini, dan walaupun dakwaan pengkhianatan itu berat, tetapi mengambil kira keadaan dan usia Tun, Kabinet mencadangkan supaya tidak diambil tindakan.
“Keputusan untuk mendakwa tidak timbul kerana siasatan polis belum dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Akhir Bahasa Piala Perdana Menteri Ke-50 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) dilaporkan membawa usul agar Anwar dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) berkaitan isu Batu Puteh.
Usul tersebut dibawa di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, susulan kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir atas faktor usia beliau yang telah lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
