'Saya hanya fikir satu, selamatkan dia' - Pelajar Unimas

Situasi ketika Ahmad Nur Irfan berenang untuk menyelamatkan mangsa di tasik kampus Unimas.
Situasi ketika Ahmad Nur Irfan berenang untuk menyelamatkan mangsa di tasik kampus Unimas.
A
A
A

SHAH ALAM – “Saya hanya fikir satu perkara, selamatkan dia.”

Demikian kata mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang bertindak berani menyelamatkan seorang remaja perempuan selepas keretanya terjunam ke dalam tasik.

Ahmad Nur Irfan Amirruddin, 22, berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 10.30 pagi ketika dia bersama rakan sedang meninjau lokasi untuk program universiti yang akan datang.

“Saya dan kawan tengah cari 'check point' untuk program kami akan datang. Tiba-tiba nampak ada kereta dalam tasik dan seorang remaja yang memerlukan pertolongan, tanpa fikir panjang, saya terus terjun," katanya kepada Sinar Harian

Pelajar jurusan Kerja Sosial dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu berkata, tindakannya dilakukan secara spontan tanpa memikirkan risiko terhadap diri sendiri.

Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam tasik berhampiran bulatan Unimas, Kuching. Foto JBPM
Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam tasik berhampiran bulatan Unimas, Kuching. Foto JBPM

"Hanya satu perkara bermain dalam fikiran saya iaitu menyelamatkan nyawa.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat mangsa selamat. Tapi kejadian ini memang saya tidak lupa seumur hidup, itu semua dengan izin ALLAH," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kemahiran asas berenang yang dipelajari sejak di bangku sekolah menjadi penyelamat dalam situasi cemas itu.

"Ia bukan sekadar hobi, tetapi satu kemahiran hidup yang mampu menyelamatkan nyawa.

“Sejak darjah empat, mak saya hantar pergi kelas renang. Memang saya suka berenang, bila ada masa lapang, saya pergi berenang di kolam renang Unimas," jelasnya.

Bagaimanapun dia memberitahu, ibu remaja tersebut tidak dapat diselamatkan.

"Ketika saya berjaya selamatkan remaja itu, dia beritahu emak ada dalam kereta namun saya sudah keletihan dan hilang tenaga.

"Alhamdulillah masih ada insan baik yang sudi membantu apabila dua kontraktor yang ketika itu berada berhampiran datang. Mereka menggunakan tali, ikat pada tayar kereta dan menariknya ke darat," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!