Pendengaran rayuan pembebasan Isa Samad 29 Oktober

Mohd Isa
Mohd Isa
A
A
A

PUTRAJAYA – Prosiding pendengaran rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 29 Oktober depan.

Timbalan Pendaftar, Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof menetapkan tarikh tersebut selepas pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian pada Jumaat.

Ketika dihubungi, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan bahawa pihak-pihak terlibat diarahkan untuk memfailkan hujahan bertulis dalam tempoh dua minggu sebelum prosiding bermula.

Sementara itu, peguam Siti Sarah Khalil yang mewakili bekas Ahli Parlimen Jempol itu berkata, hujahan perlu difailkan selewat-lewatnya pada 14 Oktober, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 15 Oktober.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap Mohd Isa selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa semua hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan tempoh penjara sebenar selama enam tahun.

Namun, pada 6 Mac tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membatalkan sabitan serta hukuman tersebut.

Panel yang turut dianggotai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah berpuas hati bahawa tiada bukti menunjukkan wujudnya kod perkataan "salam" antara Mohd Isa dan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md Arip, yang mengaitkan beliau dengan pertuduhan rasuah.

Susulan itu, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun 2024.

Artikel Berkaitan:

Dalam petisyen rayuan, pendakwaan selaku perayu mengemukakan 24 alasan, antaranya mendakwa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf dari segi undang-undang ketika membebaskan Mohd Isa.

Mereka memohon agar Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Mohd Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara serta denda, atau menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Petisyen turut menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila mengetepikan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd Isa telah mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel.

Pada 2018, Mohd Isa, 76, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan melalui Muhammad Zahid, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!