Malaysia terima sistem pesawat tanpa pemandu MALE-UAS ANKA tahun depan

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

ISTANBUL - Malaysia dijangka menerima sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) "ANKA” buatan Turkiye menjelang Mac 2026.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pesawat dihasilkan oleh syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI) itu sedang dalam proses integrasi sistem radar dan pemasangan radio komunikasi yang dibawa dari Jerman.

"Ketika ini, pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang akan mengendalikan pesawat itu sedang menjalani latihan pengendalian bersama pihak pembekal.

"Apabila kita membeli aset seperti ini, elemen latihan pengoperasian turut disediakan oleh syarikat yang membekalkannya,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Mengenai kemungkinan pemerolehan tambahan MALE-UAS ANKA, Mohamed Khaled berkata, keputusan perancangan perolehan aset pertahanan negara akan ditentukan kerajaan berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-13 yang dijadual dibentangkan pada 31 Julai ini.

Kontrak pemerolehan tiga unit MALE-UAS ANKA bersama peralatan sokongan berkaitan dimeterai antara Kementerian Pertahanan dan TAI semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023).

Sebelum ini, Bernama melaporkan Malaysia dipercayai memilih varian "Anka-S" yang berupaya terbang selama 24 hingga 30 jam tanpa henti, pada ketinggian 30,000 kaki dan membawa muatan antara 250 hingga 350 kilogram.

Selain melaksanakan tugas risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR), dron Anka-S yang diperoleh Malaysia juga mempunyai kemampuan membawa empat peluru berpandu MAM Smart Micro yang dibangunkan oleh satu lagi syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan untuk misi serangan darat.

Terdahulu, Mohamed Khaled yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye menghadiri Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025 dan meninjau pembinaan tiga kapal misi pesisir (LMS) kelompok kedua oleh syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!