MPM, Bar Council, SLS dan AAS jalin kerjasama sedia khidmat guaman percuma

Dari kiri: Bendahari Badan Peguam Malaysia, R Jayabalan; Pengerusi, Jawatankuasa Kecil Undang-undang Pekerjaan termasuk Undang-undang Buruh (SLS), Janice Wong Heu Fun; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof, Steven, Yang Dipertua Mahkamah Perusahaan Malaysia, Datuk Wan Jeffry Kassim dan Setiusaha Kehormat AAS. Christine Lim Shiew Hsia.
Dari kiri: Bendahari Badan Peguam Malaysia, R Jayabalan; Pengerusi, Jawatankuasa Kecil Undang-undang Pekerjaan termasuk Undang-undang Buruh (SLS), Janice Wong Heu Fun; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof, Steven, Yang Dipertua Mahkamah Perusahaan Malaysia, Datuk Wan Jeffry Kassim dan Setiusaha Kehormat AAS. Christine Lim Shiew Hsia.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) kini menawarkan khidmat guaman percuma kepada golongan tidak berkemampuan menerusi Program Bantuan Khidmat Guaman.

Program tersebut hasil jalinan kerjasama strategik antara MPM dan tiga badan guaman utama negara iaitu Majlis Peguam Malaysia (Bar Council), Sabah Law Society (SLS) dan The Advocates Association of Sarawak (AAS).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, menerusi inisiatif itu, individu yang mempunyai kes di MPM boleh mendapatkan bantuan guaman percuma, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.

Steven melancarkan Program Bantuan Khidmat Guaman sempena Majlis Makan Malam Apresiasi MPM yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Steven melancarkan Program Bantuan Khidmat Guaman sempena Majlis Makan Malam Apresiasi MPM yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Bagi kes di Semenanjung, permohonan boleh dibuat melalui Bar Council Legal Aid Centre dengan syarat pemohon mesti lulus ujian kemampuan (means test) yang mengambil kira pendapatan, komitmen kewangan seperti sewa rumah, pinjaman dan kos sara hidup.

“Tiada bayaran guaman dan fi pemfailan dikenakan. Pemohon hanya perlu menanggung kos langsung seperti pengangkutan peguam, fotokopi dan surat akuan sumpah,” katanya.

Beliau melancarkan program berkenaan sempena Majlis Makan Malam Apresiasi MPM yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu bagi kes di Sabah dan Sarawak, Steven menjelaskan, bantuan guaman boleh diperoleh melalui SLS dan AAS mengikut garis panduan kelayakan badan guaman masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan MPM dalam memastikan akses kepada keadilan lebih mudah, inklusif dan mampu dicapai oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan pekerja serta majikan yang memerlukan.

“Mekanisme pelaksanaan bantuan guaman ini akan diselaraskan di seluruh negara dengan mengambil kira penyesuaian konteks di setiap negeri,” ujarnya.

Penilaian kelayakan berdasarkan jumlah pendapatan isi rumah, bilangan tanggungan, komitmen kewangan, lokasi tempat tinggal (bandar atau luar bandar), dokumen sokongan seperti penyata gaji dan bil utiliti.

Bagi kriteria kelayakan kewangan, penilaian merujuk pendapatan bulanan (selepas tolak perbelanjaan) bagi pasangan suami isteri tidak melebihi RM1,000 dan bujang tidak melebihi RM800.

Selain itu, nilai aset rumah atau harta tidak melebihi RM75,000, motosikal (RM4,500), kereta dan lain-lain RM15,000 serta simpanan kurang RM5,000.

Pihak pengurusan juga mempunyai budi bicara untuk menilai permohonan secara kes demi kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!