Mahsuri, Nabil meriahkan Riuh Rewang

SHAH ALAM- Pengeluar produk Mahsuri, Mahsuri Dagang Sdn Bhd (Mahsuri Dagang) berganding bahu bersama Karangkraf menjayakan pertandingan memasak berpasukan, Riuh Rewang sempena Karnival Siang Malam Karangkraf pada 27 Julai depan.
Program berkonsepkan masakan tradisional secara santai itu bakal disertai 10 kumpulan dari komuniti setempat yang akan beraksi secara kreatif menggunakan rangkaian produk Mahsuri dalam setiap hidangan yang disediakan.
Menurut Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz, penyertaan mereka dalam program tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat untuk memupuk semangat kekitaan dan menggalakkan gaya hidup berkomuniti dalam kalangan rakyat.
“Program Riuh Rewang ini sangat selari dengan nilai produk Mahsuri yang berkait rapat dengan dunia masakan dan makanan. Apabila Karangkraf menjemput Mahsuri Dagang menyertai acara ini, kami terus bersetuju kerana ia berteraskan komuniti dan bukan pertandingan profesional,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebanyak 10 kumpulan amatur akan menyertai pertandingan memasak berpasukan itu. Setiap pasukan dikehendaki menyediakan dua menu tradisional iaitu satu hidangan utama dan satu hidangan sampingan dalam tempoh lebih kurang satu jam setengah.
Tambah Mohd Jazri, antara syarat penyertaan ialah peserta mesti menggunakan mana-mana produk keluaran Mahsuri Dagang seperti sos tiram, sos manis pedas, kicap lemak manis, sos tiga rasa, sos ala Korea dan varian terbaharu, sos tiram pedas.
“Kami mahu peserta mencuba sendiri kelebihan produk Mahsuri yang mudah digunakan dan menjimatkan masa. Walaupun bukan cef profesional, mereka boleh menghasilkan menu enak dan autentik,” katanya lagi.
Menariknya, pertandingan ini turut menampilkan Duta Mahsuri Dagang, pelakon dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad yang akan hadir sebagai pengacara khas sambil memeriahkan suasana acara yang dijadualkan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 2.30 petang.
Nabil turut bergandingan dengan personaliti televisyen, Azrul Raja Lawak yang akan mengacarakan sesi awal pertandingan.
“Kami menilai bukan sekadar rasa makanan, tetapi juga usaha dan semangat kerjasama kumpulan. Kami tahu peserta bukan cef, jadi objektif kami adalah menyatukan komuniti dan galak interaksi sosial secara sihat,” katanya.

Hadiah menarik disediakan kepada tiga pemenang utama iaitu RM1,000 untuk juara, RM800 untuk naib juara dan RM600 untuk tempat ketiga manakala lima lagi kumpulan akan menerima hadiah sagu hati.
Jualan eksklusif Bersempena karnival tersebut juga, Mahsuri Dagang akan membuka reruai jualan dan promosi khas bagi para pengunjung yang ingin mendapatkan produk mereka pada harga istimewa termasuk sampling percuma.
“Kami menyediakan pakej jualan eksklusif dengan beri lebih nilai kepada pengguna dan pada masa sama memperkenalkan produk baharu seperti sos tiram pedas yang kini makin mendapat sambutan,” jelasnya.
Beliau berkata, inisiatif seperti itu penting dalam konteks masyarakat moden yang semakin sibuk dan kurang bersosial, kerana ia menggalakkan interaksi fizikal serta memperkukuh jaringan komuniti.
Mohd Jazri berkata penyertaan adalah terbuka tanpa had umur dan tiada syarat jantina. Apa yang penting adalah semangat berpasukan dan keinginan untuk mencuba.
“Kami tidak mencari pakar, cukup sekadar orang biasa yang mahu bergembira sambil memasak. Inilah semangat sebenar Riuh Rewang, santai, meriah dan penuh nilai kekeluargaan,” katanya.
REAKSI

“Saya yakin kumpulan yang bertanding dalam Riuh Rewang mampu menghasilkan masakan yang berkualiti dengan produk keluaran Mahsuri Dagang. Cabaran utama kami adalah untuk menampilkan dua hidangan kreatif lauk utama dan lauk iringan."-Zuridah Zainal Abidin, 41, Kuala Selangor

“Ini merupakan kali kedua saya menyertai Riuh Rewang. Pertandingan kali ini ada kelainan sesuai dengan hasrat penganjur mahu menghidupkan semangat komuniti sempena Karnival Siang Malam Karangkraf.” - Sasaliza Mohd Sirin, 43, Padang Jawa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
